Kesatuan Melayu Muda
1.0 Pengenalan.
Banyak
persatuan Melayu telah muncul pada akhir tahun 1930-an, antaranya
termasuklah Persatuan Melayu Perak, Persatuan Melayu Pahang, Persatuan
Melayu Selangor, Persatuan Melayu Negeri Sembilan, Persatuan Melayu Muda
dan sebagainya. Namun, perjuangan politik yang mula jelas di Tanah
Melayu pada akhir tahun 1930-an dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda
(KMM) pada tahun 1938 di bawah pimpinan Ibrahim Haji Yaakob.[1]
Pemimpin-pemimpin lain dalam KMM ialah Ishak Haji Muhammad dan Ahmad
Boestamam serta beberapa orang rakan mereka dari Indonesia yang menetap
di Tanah Melayu. Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji
Muhammad,telah merancang untuk menubuhkan sebuah parti politik yang
progresif revolusioner pada 1937.Mereka mahu menuntut kemerdekaan dengan
apa cara sekali pun. [2]
Bagaimanapun,
mereka menyedari bahawa bangsa Melayu sangat berkurangan sama ada dari
segi kewangan mahupun ketenteraan.Dengan itu, rancangan itu tidak jadi
dilaksanakan. Sementara itu, Ibrahim Yaakob tidak teragak-agak untuk
mendapatkan sokongan Jepun dalam usaha membebaskan tanah air daripada
penjajahan Inggeris kerana dia mempercayai bahawa Jepun yang ketika itu
sedang berperang dengan China akan menjadi kuasa yang terkuat di Asia.
Pada April 1938 baharulah mereka dapat menubuhkan sebuah parti politik
kiri yang bersifat nasional yang diberi nama Kesatuan Melayu Muda (KMM).
Pergerakan ini mempunyai cita-cita hendak menyatukan Tanah Melayu
dengan Indonesia dengan konsepnya 'Melayu Raya'.
Gerakan ini juga bersifat pro-Jepun kerana mereka menolong menyebarkan
propaganda Jepun melalui akbar rasminya iaitu 'Warta Malaya'. [3]
Penubuhan
Kesatuan Melayu Muda dirasakan perlu oleh Ibrahim Haji Yaakob dan
rakan-rakannya kerana Persatuan-Persatuan Melayu yang ada ketika itu
seperti PASPAM dan persatuan Melayu yang muncul di Perak, Pahang, dan
Selangor tidak menunjukkan minat dan cita-cita politik. Perjuangan Persatuan Melayu
Muda boleh dilihat dalam tiga peringkat iaitu sebelum kedatangan Jepun
ke Tanah Melayu, semasa pendudukan Jepun dan selepas pendudukan Jepun.
Dasar perjuangan KMM juga berbeza dengan persatuan-persatuan Melayu yang
wujud pada waktu itu kerana persatuan-persatuan negeri ketika dilihat
lebih propenjajah dan bersifat kenegerian. KMM bersifat antipenjajah
dengan memperjuangkan kemerdekaan dan pembebasan Tanah Melayu daripada
belenggu penjajahan. Parti ini berpusat di Kuala Lumpur dan ia merupakan parti politik yang pertama ditubuhkan di negara ini kerana KMM dikatakan sebagai pertubuhan politik yang pertama di Tanah Melayu yang mula menggunakan perkataan ‘merdeka’.[4]
KMM juga merupakan sebuah pertubuhan politik Melayu yang radikal dan berhaluan kiri kerana parti ini telah mengikuti dasar perjuangan yang tidak mahu berkerjasama dengan kerajaan Inggeris. [5]
2.0 Matlamat Penubuhan KMM
mMenurut
Ruslan Zainuddin (2003), KMM ditubuhkan bertujuan untuk menggabungkan
semua orang Melayu, tanpa mengira negeri bersama-sama mempertahan,
melindungi dan memperjuangkan hak serta kepentingan bangsa Melayu.[6]
KMM bermatlamat untuk menghindarkan orang Melayu daripada diperas oleh
bangsa-bangsa lain dan ingin melahirkan semangat kebangsaan di kalangan
orang Melayu. KMM melihat persatuan-persatuan Melayu yang berasaskan
kenegerian tidak banyak menguntungkan orang Melayu. Oleh itu, KMM
meletakkan matlamat memperjuangkan kemerdekaan dan membebaskan Tanah
Melayu daripada belenggu penjajahan. Ini disusuli pula dengan usaha
menggabungkan bekas-bekas tanah jajahan British dan Belanda untuk
mewujudkan satu gagasan politik yang dikenali sebagai 'Indonesia Raya'
yang akan menjadi satu bangsa terbesar di Asia Tenggara. [7]
Walaupun
KMM mahu menjalin hubungan dengan Indonesia, tetapi pertubuhan itu
tidak berminat kepada fahaman komunis, sungguhpun sesetengah dasarnya
sama dengan beberapa buah parti di Indonesia. Malah, KMM mendakwa tidak
sedikitpun dipengaruhi oleh parti-parti dari Indonesia.[8]
Menurut K.Ratnam (1998) pula
dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia
Selatan dan Asia Timur, beliau mengatakan bahawa tujuan utama KMM ialah
melindungi hak orang melayu,mendapatkan kemerdekaan penuh daripada
penjajah baik dari segi ekonomi, sosial atau politik serta membentuk
satu kesatuan politik dengan Indonesia untuk membentuk Indonesia Raya
atau Melayu Raya supaya bangsa Melayu akan menjadi paling besar di Asia
Tenggara[9].
Bagi Maswari Rosdi pula, beliau mengatakan bahawa tujuan penubuhan KMM
ialah untuk membebaskan orang Melayu daripada cengkaman penjajah British
dan mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu serta menyatukannya dengan
Indonesia untuk membentuk Indonesia[10].
Melalui objektif yang diterangkan, jelaslah bahawa KMM bukan sahaja
ingin membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British namun KMM
juga berhasrat untuk memerintah Tanah Melayu.[11]
3.0 Dasar Perjuangan KMM
Dasar
perjuangan KMM sebagai sebuah parti politik Melayu yang pertama
ditubuhkan di Tanah Melayu amat berbeza jika dibandingkan dengan dasar
perjuangan persatuan negeri-negeri yang lain. Mustapha Hussein
menerangkan bahawa dasar KMM bertentangan dengan dasar Persatuan Melayu
Perak, Selangor, dan Pahang yang pada masa itu dilihat lebih bersifat
propenjajah dan berfahaman kedaerahan. Dasar perjuangan
persatuan-persatuan tersebut bertolak belakang dengan dasar KMM yang
lebih condong kepada dasar yang bersifat 'antipenjajah' dan enggan
mengadakan kerjasama dengan pihak penjajah British. [12]
Menurut
Ibrahim pula,beliau menerangkan dasar dan matlamat perjuangan KMM yang
lebih luas menurutnya “bahawa KMM adalah pelopor perjuangan nasional di
Malaya secara berorganisasi yang pertama menentang penjajah Inggeris
dengan dasar 'non-coorporation' menuntut Malaya
Merdeka atas dasar kesedaran nasional yang luas bertujuan mahu
mempersatukan Malaya kepada satu ikatan Indonesia Raya agar seluruh suku
bangsa orang Melayu (Malay-races) menjadi satu bangsa yang besar di
Asia Tenggara”. Mengikut Ibrahim Yaakob, KMM ditubuhkan sebagai alat
untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu yang akan disatukan dengan
Indonesia dan menjadi sebahagian daripada sebuah negara besar,
Indonesia Raya. Bagaimanapun, pada masa itu KMM tidak boleh menyatakan
secara terbuka bahawa perjuangannya adalah untuk menuntut kemerdekaan.[13]
Matlamat
untuk menuntut kemerdekaan itu terpaksa disembunyikan. KMM telah
didaftarkan sebagai sebuah badan sosial dengan mengambil
peraturan-peraturan Liga Pemuda India Selangor sebagai perlembagaannya.
Bagaimanapun,mengikut Roff, KMM yang ditubuhkan pada 1938 itu telah
memohon pengecualian daripada pendaftaran di bawah Undang-undang
Pertubuhan dan berjaya memperolehnya lebih dua tahun kemudian pada
Disember 1940,tetapi pertubuhan itu tidak mengeluarkan apa-apa
manifesto,perlembagaan dan daftar pegawainya[14].
Selain itu,matlamat KMM juga ingin menggabungkan semua negeri
Melayu,memperjuangkan kepentingan hak orang Melayu,menggulingkan
Inggeris,memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan memperjuangkan
penyatuan Tanah Melayu dengan Indonesia di bawah konsep Melayu Raya.
4.0 Tokoh-tokoh Utama dan Ahli Jawatankuasa KMM
Ibrahim
Hj Yaakob (lahir 1911 di Temerloh, Pahang dan meninggal dunia pada 1976
di Jakarta) adalah presiden dan pengasas bagi Kesatuan Melayu Muda
(KMM) dan tokoh politik Melayu yang menentang kerajaan penjajah British.
W.R Roff, pengkaji awal Kesatuan Melayu Muda (KMM) telah
bertanggungjawab menjadikan Ibrahim Haji Yaakob sebagai pendukung
penting KMM. Menurut Roff, Ibrahim Haji Yaakob telah mempunyai minat
politik yang mendalam yang berorientasikan Indonesia sejak 1929, semasa
beliau belajar di Sultan Idris Trainning College (SITC). Beberapa pertubuhan pemuda telah dibentuk seperti Belia Malaya[15] atau Ikatan Semenanjug Borneo[16]
untuk mengumpul tenaga pemuda dalam mendukung kebangsaan Melayu. Malah,
lebih jauh lagi, Ibrahim Haji Yaakob telah berbincang dengan golongan
Marxist di Indonesia melalui Djamaluddin Tamin, orang kanan Tan Malaka
di Tanah Melayu. Pada 1928 atau 1929, Ibrahim Haji Yaakob dan beberapa
pelajar lain dikatakan telah menjadi ahli Parti Nasional Indonesia (PNI)
pimpinan Ir. Sukarno. Mereka juga dikatakan melanggan akhbar parti itu,
Fikiran Rakyat.
Minat
Ibrahim Yaakob untuk menjadi pemimpin masyarakat Melayu bukanlah suatu
yang baru. Sejak beliau mengenal erti politik di SITC, beliau telah
menawarkan diri untuk berkerja bagi orang ramai. Dalam rencananya yang disiarkan dalam Majalah Majlis,
beliau telah menawarkan diri dengan mengatakan walaupun beliau "seorang
yang tidak terkenal di sisi bangsaku", namun beliau "sedia berkorban
badan dan jiwa untuk guna bangsa, tanah air dan raja Melayu" dan
"sanggup bersyarah di hadapan penghulu-penghulu, guru-guru, di
kelab-kelab, di balai polis dan di tempat-tempat lain, sekiranya
diizinkan oleh kerajaan British. [17]
Ternyata
sekali Ibrahim haji Yaakob ialah seorang yang konservatif dalam
pendekatan politiknya pada tahun 1932, iaitu semasa beliau masih lagi
menjadi guru sekolah di Bentong. Beliau menerima kepimpinan raja Melayu,
malah sangat akur dengan peraturan penjajah British. Tetapi keadaan ini
berubah selepas awal tahun kemudian, setelah beliau mendapat pengalaman
tentang kegiatan politik Melayu dalam PMS. Kepimpinan golongan itu
ditolaknya atas alasan untuk kepentingan bangsa Melayu.[18]
Dengan itu Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan sebagai tindak balas
terhadap penguasaan golongan aristokrat Melayu dalam kepimpinan politik
masyarakat Melayu. Beliau mahu kepimpinan politik masyarakat Melayu
dikongsi bersama-sama golongan rakyat bawahan, seperti beliau. Minat
yang tebal ditanam dalam sanubarinya sejak 1932 telah cuba dijelmakan
pada tahun 1938 melalui penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM). [19].
Semasa Perang Dunia Kedua, beliau menyokong Jepun semasa pendudukan
mereka di Malaysia. Dipenjarakan oleh British pada 1941, beliau
dibebaskan oleh pihak Jepun pada Februari 1942 akan tetapi Ibrahim
ditangkap kembali oleh tentera British di Singapura pada akhir tahun
yang sama. Beliau meninggal di Jakarta pada 8 Mac 1979. [20]
Turut menjadi orang penting bagi Kesatuan Melayu Muda ialah Ahmad Boestamam (lahir pada 30 November 1920 ). Nama asalnya ialah Abdullah Thani Bin Raja merupakan salah seorang
aktivis politik anti penjajah Inggeris. Beliau menggunakan nama Ahmad
Boestamam mulanya sebagai nama pena ketika menubuhkan akhbar Suara
Rakyat pada tahun 1945 di Ipoh, Perak. Nama ini melekat sebagai nama
yang popular. Beliau juga pernah menggunakan nama pena Ruhi Hayat dan
Jiwalara. Beliau berbakat besar dalam penulisan dan seorang pemidato
yang handal. Selain daripada bergiat dalam politik, beliau juga berjaya
menghasilkan tidak kurang daripada 15 buah novel.
Seperti
kebanyakan para aktivis politik yang sezaman dengannya, Ahmad Boestamam
adalah seorang wartawan akhbar yang sangat prolifik. Beliau bermula
dengan akhbar Saudara di Pulau Pinang, kemudian Warta Kinta di Ipoh,
Majlis di Kuala Lumpur, Utusan Melayu di Singapura dan Warta Malaya juga
di Singapura. Pekerjaannya itu juga menjadikan beliau bertembung dan
bergaul dengan tokoh-tokoh wartawan Melayu lain seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Muhammad.[21]
Kegiatan
Boestamam dalam bidang kewartawanan ini telah menyebabkan beliau
terlibat dalam arus kerancakan nasionalisme Melayu yang sedang memuncak
pada tahun 1930-an. Beliau telah turut sama memberi pendapat dan
cadangannya bagi memperbaiki kelemahan ekonomi, sosial dan politik orang
Melayu daripada tekanan kerajaan British dan saingan kaum pendatang.
Walaupun tulisannya tidak setajam rakan-rakannya yang lain, tetapi
beliau telah melahirkan pendapatnya dalam nada dan pendapat yang sama
dengan mereka. Persamaan harapannya untuk memajukan orang Melayu sudah
cukup untuk membolehkan beliau terlibat secara langsung dalam kegiatan
nasionalisme orang Melayu.[22]
Kepentingan
Boestamam dalam kegiatan politik bermula dengan penglibatannya dalam
Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai Penolong Setiausaha semasa menjadi
pemberita khas akhbar Majlis di Kuala Lumpur yang dipimpin oleh Ibrahim
Haji Yaacob. Walaupun beliau hanya menjadi orang yang keempat penting
dalam organisasi yang menjadi ejen Jepun, tetapi ini tidak dipandang
ringan oleh kerajaan British.[23]
Ahmad dianggap sebagai seorang aktivis politik antipenjajahan yang
berbakat besar. Penangkapan Boestamam pada tahun 1941 bersama-sama
dengan 150 orang anggota dan penyokong KMM memulakan kehidupan getir
Boestamam sebagai seorang aktivis politik. Beliau telah menjadi lebih
terdedah kepada tekanan penjajah, yang secara langsung memberi satu
pemantapan kepada sikap anti penjajahannya. Ini menjadi salah satu
kemungkinan kepada semangatnya untuk terus bergiat dalam politik.[24]
Selain
daripada dua tokoh di atas, antara lain tokoh yang menjadi penggerak
kepada perjuangan Kesatuan Melayu Muda ialah seperti Mustapha Hussein
yang bertindak sebagai Naib Presiden, iaitu seorang yang berpendidikan
dari Sekolah Pertanian Serdang, Hassan Manan, seorang pelajar lepasan
Sekolah Teknik Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Setiausaha Agung dan
Idris Hakim sebagai bendahari. Manakala, Abdul Karim dan Onan Haji Siraj
menjadi ahli jawatankuasa bersama-sama dengan Bahar bin Abik, Sulung
bin Achik, Abdul Samad Ahmad, wartawan Majlis, Abdullah Kami dan Ishak Haji Muhammad. [25]
5.0 Perjuangan KMM
Perjuangan KMM disebarkan melalui akhbar seperti Warta Malaya yang ditulis oleh Ibrahim Haji Yaakob.[26]
Beliau memilih akhbar Warta Malaya kerana akhbar tersebut merupakan
sebuah akhbar yang sangat berpengaruh di Selatan Tanah Melayu dan akhbar
yang lebih tua yang telah diterbitkan sejak tahun 1930.[27]
Cawangannya mula didirikan di Tanah Melayu selepas penubuhan KMM di
Kuala Lumpur. Dalam penubuhan cawangan KMM, pelajar lepasan Maktab
Perguruan Sultan Idris yang menjadi guru di sekolah-sekolah melayu
memainkan peranan utama. Selain itu, guru-guru dan para pelajar sekolah
agama turut menjadi ahli dan menubuhkan cawangan KMM seperti di Madrasah
al-Masyhor, Pulau
Pinang dan Maahad ll Ihya dalam KMM setelah mendapat galakan daripada
tenaga pengajar ll Ihya,terutamanya Ustaz Abu Bakar al-Bakir yang secara tidak langsung mempunyai hubungan rapat dengan ketua-ketua KMM tempatan. [28]
Kelangsungan daripada perhubungan tersebut, ramai pelajar ll Ihya dalam KMM bukan
sahaja setakat menjadi ahli tetapi ada antara mereka yang telah menjadi
pemimpin apabila cawangan Gunung Semenggol atau seluruh Perak Utara
ditubuhkan. Antaranya ialah Osman Hamzah (Naib Yang Dipertua, Sabri
Abdul Kadir (Setiausaha) Ahmad Yusuf, Yahaya Nasir, Haji Abdullah, Abd
Kaisar dan Kassim Mohammad yang kesemuanya menjadi ahli jawatankuasa.
5.1 Perjuangan KMM melalui penulisan
Selain
itu, perjuangan KMM juga banyak dibantu melalui penulisan karya-karya
yang menerapkan ideologi mereka. Ishak Haji Muhamad merupakan salah
seorang tokoh KMM yang banyak menyumbang memperjuangkan KMM dari segi
penulisan. Salah satu karya beliau yang agak popular diperkatakan ialah ‘Putera Gunong Tahan’.[29]
Karya ini merupakan novel sindiran beliau yang pertama yang mengkritik
dan menyindir masyarakat Tanah Melayu, pemimpin tempatan serta penjajah.
Sindiran beliau dalam novel ini sebenarnya ingin menyedarkan masyarakat
Tanah Melayu supaya bangkit mempertahankan Tanah Melayu dan tidak
terpedaya dengan janji-janji manis penjajah ketika itu kerana ia hanya
bertujuan untuk terus menjajah Tanah Melayu.
Menurut
Ramlah Adam, walaupun begitu, ideologi KMM ini yang ingin
mempertahankan orang Melayu sebelum Jepun menduduki Tanah Melayu
tidaklah seperti yang mereka janjikan. Sikap ahli-ahli KMM ini terus
berubah apabila telah berjaya membantu Jepun menguasai Tanah Melayu.
Mereka berpuas hati kerana berkuasa dalam masyarakat Melayu dan menjadi
pemimpin baru orang Melayu.[30]
Kata-kata mereka selalu ditunaikan oleh pemerintah tentera Jepun dan
keadaan ini telah mengubah sikap mereka menjadi angkuh dan sangat
ditakuti orang ramai. Keadaan ini ada diceritakan dalam novel ‘Nyawa Di Hujung Pedang’,[31] karangan Ahmad Murad dan turut diceritakan dalam cerpen-cerpen karangan Arena Wati.[32]
6.0 Plot Perjuangan KMM
Pada
1940,Ibrahim Yaacob sebagai Presiden atau Ketua Umum KMM telah
menjelajah ke seluruh Tanah Melayu untuk mendapatkan sokongan
rakyat.Sebagai hasil daripada lawatan beliau itu, KMM telah ditubuhkan
di beberapa buah negeri termasuk Singapura dan Patani.Abdul Samad telah
menyenaraikan nama 37 orang yang dianggapnya sebagai tokoh KMM di
negeri-negeri tersebut sementara Mustapha telah menyenaraikan nama 52
orang ahli KMM yang berdasarkan ingatannya.[33] Senarai yang dikemukakan oleh Abdul Samad Idris dan
Mustapha Hussein itu mungkin merupakan senarai ahli KMM yang awal iaitu
senarai ahli pada 1938 yang mengikut dugaan Roff mungkin tidak lebih
daripada 50 atau 60 orang dan kebanyakannya terdiri daripada guru
sekolah Melayu,kakitangan atau pelajar Sekolah Teknik Kuala
Lumpur,Sekolah Pertanian Serdang dan SITC ataupun wartawan.Senarai ahli
pada 1940 dan selepasnya mungkin lebih ramai daripada itu walaupun
mengikut dugaan Roff tidak lebih daripada beberapa ratus orang sahaja.[34]
Dalam
usianya yang singkat,sejak kelahirannya pada 1938 hingga kedatangan
Jepun pada tahun 1941,jelas tidak banyak yang dapat dilakukan oleh KMM
dalam perjuangan mencapai kemerdekaan.Ia bukan sahaja tidak mendapat
sokongan daripada golongan pembesar tetapi juga daripada golongan rakyat
bawahan yang kebanyakannya masih takut untuk berpolitik dan lebih
mematuhi pemimpin tradisional seperti penghulu,datuk-datuk lembaga (di
Negeri Sembilan) dan sebagainya.[35]
Dalam hubungan ini, KMM mengambil sikap bermusuhan dengan
pembesar-pembesar tersebut. Pada pertengahan 1941, beberapa bulan
sebelum Jepun menyerang Malaya, Ibrahim Yaakob iaitu Ketua Umum KMM
dikatakan telah dihubungi oleh Jepun yang menawarkan wang untuk membeli
surat khabar Melayu yang boleh digunakan untuk melancarkan propaganda
anti-British. Ibrahim menerima tawaran itu dan tanpa diketahui oleh
pemimpin KMM yang lain telah menjanjikan sokongan KMM kepada Jepun
apabila Jepun menyerang Malaya. Dengan wang pemberian Jepun itulah
Ibrahim Yaakob membeli akhbar harian Warta Malaya daripada satu keluarga Arab yang menjadi pemiliknya pada Ogos 1941.[36]
6.1 Peringkat awal pertubuhan KMM
Pada
awal pertubuhan KMM sehingga awal pendudukan Jepun, KMM tidak mendapat
sambutan yang menggalakkan di kalangan masyarakat melayu di Terengganu.
Hal ini disebabkan masyarakat di Terengganu belum mempunyai kesedaran
dalam isu-isu politik. Manakala, dari segi penyertaan pula, KMM tidak
mendapat sambutan atau sokongan daripada golongan atasan dan pegawai
tinggi kerajaan termasuk kalangan para pemimpin agama. Pada masa
pendudukan Jepun, cawangan KMM di Terengganu berjaya meluaskan pengaruh
kerana wujudnya hubungan baik antara KMM dengan pihak Jepun.
Walaupun
KMM berusaha untuk memperluaskan pengaruh namun pertubuhan ini tidak
berjaya menarik lebih ramai pengikut, terutamanya di kalangan rakyat
bawahan dan golongan pentadbir Melayu yang berpendidikan Inggeris. Hal
ini kerana mereka masih mengharapkan kepimpinan raja-raja dan golongan
bangsawan Melayu yang dianggap sebagai pelindung orang Melayu.
Kemunculan KMM di tengah-tengah orang Melayu yang sebahagian besarnya
terdiri daripada masyarakat tani yang masih setia terhadap hubungan
sosial bersifat tradisional terutamanya dengan raja-raja Melayu dan para
pembesar Melayu sebenarnya tidak banyak membantu KMM meluaskan
pengaruhnya.[37] Terdapat golongan yang juga tidak menyokong KMM iaitu golongan Birokrasi kerana KMM bersikap anti birokrasi. [38]
Tanpa
sebuah perlembagaan bertulis amat sukar ditentukan dengan tepat apakah
ideologi yang diperjuangkan oleh KMM. Tambahan pula, idea KMM untuk
menyatukan Tanah Melayu dengan Indonesia melalui gagasan Melayu Raya
tidak berkesan untuk menarik perhatian orang Melayu. Sebelum Perang
Dunia kedua berlaku, KMM lebih banyak bergiat secara sulit dan
bergantung kepada hubungan ahli-ahli jawatankuasa pusat dengan
rakan-rakan di beberapa buah negeri di Tanah Melayu, khususnya di
kalangan bekas pelajar SITC untuk mendapatkan ahli-ahli baru. Jelaslah
bahawa KMM gagal mewujudkan satu gerakan massa ataupun suatu pertubuhan
politik secara besar-besaran yang berupaya melibatkan penyertaan
golongan rakyat bawahan dalam usaha menentang penjajah British di Tanah
Melayu.[39]
Namun,sejak
awal penubuhannya, pihak British sentiasa mengawasi kegiatan KMM.
British mendapat maklumat mengenai rancangan para pemimpin KMM umtuk
melancarkan gerakan senjata bagi menghalau British keluar dari Tanah
Melayu. Kebimbangan British semakin jelas apabila menyedari tentang
wujudnya hubungan rapat di antara KMM dengan para pemimpin Indonesia,
teutamanya Parti Komunis Indonesia (PKI) berikutan dengan kehadiran Sutan Djenain yang merupakan seorang pelarian politik PKI yang menetap di Tanah Melayu.[40]
Bagi
meredakan kebimbangan tersebut, pada akhir tahun 1941 pihak British
telah menahan Ibrahim Haji Yaakob dan beberapa orang pemimpin KMM
seperti Ishak Haji Muhammad, Hassan Haji Manan,Idris Hakim,Ahmad
Boestamam, Mohd Isa Mahmud dan Sutan Djenain berserta 150 orang anggota
KMM ditangkap oleh Cawangan Khas Polis British. Walaupun pada mulanya
mereka akan di hantar ke India, namun rancangan tersebut terpaksa
dibatalkan setelah kedatangan Jepun ke Tanah Melayu. Pemimpin-pemimpin
KMM telah di bebaskan oleh Jepun dan KMM telah meneruskan kegiatan
mereka dalam bidang politik. [41]
6.2 Kesatuan Melayu Muda Pada Era Pendudukan Jepun.
Pada
tahap ini,kelihatan satu kegiatan nasoinalisme yang lebih matang dari
kegiatan sebelumnya. Peranan golongan radikal Melayu lebih menonjol
sekali seperti Ibrahim Haji Yaakob, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak
Haji Mohammad merupakan tokoh-tokoh yang telah menggunakan pendudukan
Jepun sebagai satu peluang untuk mendapat tempat dalam kegiatan
nasionalisme itu. Sebagai perisik Jepun ketika itu, mereka telah
mendapat kedudukan yang baik dalam pentadbiran Jepun yang berjalan
selama tiga tahun setengah itu[42].
Mereka membantu Jepun dengan harapan Jepun akan memberi lebih banyak
kebebasan politik kepada orang Melayu, jika tidak merdeka sepenuhnya.
Mereka berpendapat bahawa penjajahan British di Tanah Melayu perlu
dihapuskan.[43]
Manakala bagi Jepun pula,mereka mengharapkan ahli-ahli KMM dapat
mempengaruhi orang Melayu supaya berkerjasama dengan tentera Jepun
semasa mereka menyerang British. Bantuan KMM ini banyak membantu tentera
Jepun untuk menakluki Tanah Melayu dengan lebih mudah.[44]
Namun,
setelah kumpulan ini berkerjasama dengan Jepun dan membiarkan Jepun
menekan kegiatan mereka, sifat radikal mereka telah musnah. Tindakan
Jepun mengharamkan KMM pada bulan Jun 1942 iaitu enam bulan selepas
penguatkuasaan pemerintahannya tidak dapat dibantah oleh Ibrahim Haji
Yaakob dan kawan-kawannya. Jepun mengharamkan KMM kerana tindakan sekumpulan pemimpin KMM seperti Mustapha Hussein menuntut kemerdekaan dari Jepun sebaik sahaja Jepun menduduki Tanah Melayu.[45]
Selepas Ibrahim Haji Yaakob melihat insiden salah seorang ahli KMM
iaitu Mustapha Hussein ditempeleng dan diterajang, beliau terpaksa
mengunci mulut dan tunduk terhadap Jepun. Beliau sedar bahawa,
kemenangan Jepun di Tanah Melayu bukanlah kemenangan bagi golongan radikal.[46]
Begitu
juga dengan Dr.Burhanuddin yang telah dilantik sebagai Penasihat
hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu di Taiping, Perak. Beliau
cuba mengadakan persidangan masyarakat Islam Sumatera dan Semenanjung
bagi kali kedua telah ditahan oleh pihak Jepun. Hal ini kerana pihak
Jepun bimbang Islam akan menjadi jambatan kebebasan politik di antara
kedua-dua buah daerah menentang Jepun.[47]
Ishak Haji Mohammad juga terpaksa membiarkan Jepun menyerahkan semula
Kelantan dan Terengganu kepada Thailand. Beliau dan kawan-kawannya juga
terpaksa mmbiarkan pentadbiran negeri-negeri utara Tanah Melayu
disatukan dengan Sumatera dan Singapura diasingkan dari Semenanjung.
Beliau seperti juga rakan-rakannya, tidak dapat menyaingi penjajah baru ini.[48]
6.3 Pembubaran Kesatuan Melayu Muda
Pada
bulan Jun 1942, KMM telah dibubarkan oleh Jepun kerana telah mendapati
bahawa KMM mula mengecam kedudukan mereka. Kemudian tentera Jepun telah
meminta Ibrahim Haji Yaakob supaya menubuhkan ‘Badan Penasihat Bumiputera pada Pemerintahan Tentera Jepun
bagi Tanah Melayu dan Sumatera. Lantaran daripada pembubaran tersebut,
ini juga bermakna bahawa perjuangan golongan nasionalis kiri yang
bergerak atas nama KMM sebagai sebuah pertubuhan politik di Tanah Melayu
turut berakhir.[49]
7.0 Analisis dan Kesimpulan.
Melalui analisis
Mohamed Salleh Lamry (2006) dalam bukunya Gerakan Kiri Melayu dalam
Perjuangan Kemerdekaan mengatakan di Malaya Kesatuan Melayu Muda (KMM)
adalah sebuah organisasi politik yang terawal muncul dan penubuhannya
banyak dipengaruhi oleh perkembangan politik di
Indonesia dan berlandaskan fahaman nasionalisme Melayu yang luas tetapi
hanya wujud sehingga zaman Jepun dan selepas Perang Dunia Kedua
perjuangan KMM diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).[50] Karya Firdaus Haji Abdullah (1985), Radical Malay Politics mengatakan
KMM adalah gerakan politik radikal Melayu yang terawal. Selain daripada
itu beberapa tulisan oleh Rustam A. Sani (1976,1983) dan Ahmat Adam
(1983, 1996) juga mengkelaskan KMM merupakan gerakan nasionalis kiri
Melayu dan Rustam A. Sani (1975) telah menghuraikan asal usul sosial
gerakan nasionalis kiri Melayu, khasnya KMM.[51]
Jika
dinilai perjuangan golongan nasionalis kiri Melayu ini bukanlah sesuatu
yang baru. Perjuangan seperti ini sebenarnya telah dimulakan oleh
pembesar tradisional, seperti Datuk Bahaman di Pahang, Datuk Sagor dan
Datuk Maharajalela di Perak dan Tok Janggut di Kelantan iaitu dengan
sokongan kaum tani, ketika Inggeris mula-mula campur tangan dalam
politik dan pentadbiran negeri Melayu pada akhir abad ke-19 dahulu. Jadi
perjuangan golongan nasionalis kiri Melayu itu boleh dianggap sebagai
menyambung atau melanjutkan perjuangan pembesar tradisional yang telah
dipatahkan oleh Inggeris.[52]
Kemunculan
gerakan nasionalisme kiri di kalangan orang Melayu pula, sama ada
secara langsung atau tidak, banyak dipengaruhi dan didorong oleh
perkembangan politik dan gerakan nasionalisme di Indonesia. Bahan-bahan dari
Indonesia, sama ada buku, majalah dan surat khabar telah sampai ke
tangan anak-anak muda Melayu yang belajar di Maktab Perguruan Sultan
Idris. Tujuan bahan bacaan itu dibawa masuk ke Tanah Melayu terutamanya
adalah untuk mengatasi masalah kekurangan bahan bacaan itu mereka dapat
mengikuti perkembangan di Indonesia, seperti Boedi Otomo, Sarekat Islam,
Parti Komunis Indonesia, Parti Nasional Indonesia serta peranan
Soekarno. Dengan itu, kemasukan bahan bacaan itu telah mendatangkan
kesan yang tidak diduga pada mulanya, iaitu
sedikit sebanyak telah mendorong timbulnya kesedaran politik anti
kolonial di kalangan mereka (Abdul Samad 1982, 310).[53]
Menurut
Ibrahim (1957) yang menulis berdasarkan pengalamannya sebagai pemimpin
politik utama gerakan nasionalisme Melayu kiri itu, tekanan politik dan
ekonomi penjajah dalam waktu singkat telah memberikan kesedaran baru
kepada orang Melayu. Dengan itu, timbullah bibit-bibit kesedaran
nasional di kalangan masyarakat Melayu. Namun, Ibrahim (1957,20)
mengakui adanya pengaruh dari Indonesia itu dengan kata-kata seperti
berikut :
“Selanjutnya
kesadaran ini bertambah besar sesudah terjadi Pemberontakan melawan
Belanda di Jawa dan Sumatera tahun 1926. Berita-berita pemberontakan di
Indonesia itu dengan diam-diam disambut oleh orang Melayu di Malaya yang
satu keturunan darahnya itu dengan sangat gembira, terutama oleh mereka
yang mempunyai hubungan darah langsung dengan suku-suku Bugis, Banjar,
Sumatera, Jawa, Sunda, Boyan dan lain-lainya, bahkan beberapa orang
pemimpin pemberontakan dari Indonesia itu yang lari ke Malaya diberikan
perlindungan saudara kandung oleh orang-orang Melayu, dari orang-orang
pelarian ini ada pula yang bergerak di Malaya memberikan kesadaran
nasional melawan penjajah di antaranya ialah Djamaluddin Tamin, Tan
Malaka, Budiman, Sutan Jenain, Alimin, Mohd Arif dan lain-lainnya.”[54]
Kenyataan
Ibrahim itu telah diperkuat oleh Abdul Samad (1982, 311) yang turut
berjuang dalam politik sejak awal munculnya gerakan nasionalisme Melayu
dengan merujuk kepada apa yang berlaku di kalangan pelajar Sultan Idris Tranning College (SITC):
“Dengan
banyaknya bahan-bahan bacaan dari luar mencurah masuk ke SITC di
Tanjung Malim, bakal-bakal guru ini dapat mengetahui bagaimana gigihnya
orang-orang Indonesia menentang penjajah dengan serba kekurangan.
Pemberontakan di Jawa dan Pemberontakan di Sumatera telah menjadi
inspirasi kepada mereka.”[55]
Roff
(1974) dalam Mohamed Salleh Lamry (2006), sebahagian daripada pelarian
politik dari Indonesia itu telah datang ke SITC untuk melanjutkan
perjuangan mereka. Dengan itu bakal-bakal guru yang telah sedia
bersemangat itu bertambah semarak lagilah semangat mereka setelah
mendengar kekejaman pihak penjajah ke atas bangsa Indonesia. [56]
Mengikut Ibrahim dalam Mohammed Salleh Lamry (2006) menambah fakta
penting tentang pengaruh dari Indonesia dengan penerangan berikut:
“Sesungguhnya,
kesedaran nasional di Malaya itu semakin cepat berkembang di Indonesia
(khususnya di Jawa)dan lahir Partai Nasional Indonesia (PNI) yang
dipimpin oleh Ir. Sukarno yang menuntut kemerdekaan Indonesia. Gerakan
PNI ini disambut baik oleh orang Melayu Malaya dengan perasaan bahawa
orang Melayu adalah suku bangsa Indonesia. Dengan demikian sejak tahun
1928 timbullah perasaan nasional Indonesia di Malaya, dan ada pula yang
menjadi anggota PNI, diantaranya ialah Sdr. Ibrahim Yaacob yang memimpin
perkumpulan mahasiswa di Sultan Idris Training College Tg. Malim
beserta kawan-kawannya.”[57]
Ringkasnya
pada tahun 1928 itu tumbuhlah kesedaran nasional di kalangan orang
Melayu penduduk Malaya. Dengan demikian pada tahun 1929 Ibrahim telah
menubuhkan sebuah gerakan pelajar secara haram yang diberikan nama
Ikatan Pemuda Pelajar. Kemudian 1930 beliau menubuhkan Ikatan
Semenanjung Borneo (Abdul Samad Idris 1982, 312) atau Belia Malaya
mengikut catatan Roff (1974, 225), yang merupakan pertubuhan haram juga.
Gerakan ini dianggotai oleh kira-kira 35 orang pelajar SITC . Antara
mereka yang menjadi pemimpinnya ialah Ibrahim Haji Yaacob, Muhammad Isa
Mahmud, Hassan Haji Manan, Yaacob Muhammad Amin dan Abdul Karim Rashid
(Abdul Samad 1982, 312). Merekalah yang disebut oleh Ibrahim Yaacob
turut menjadi ahli PNI yang dipimpin oleh Soekarno dan melanggan akhbar
parti tersebut Fikiran Rakyat (Roff 1974, 225).[58]
Penubuhan gerakan sulit Ikatan Semenanjung Borneo atau Pemuda Malaya
ini jelas mengikut model gerakan pemuda yang wujud lebih dahulu di
Indonesia, seperti Jong Jawa dan Jong Sumatera, yang merupakan gerakan
pemuda Jawa dan pemuda Sumatera.[59]
Gerakan
sulit nasionalisme Melayu di SITC itu mulai malap selepas 1932, setelah
pihak Inggeris dapat mencium gerak-geri para pemimpinnya. Pihak
Inggeris telah mengambil langkah untuk menghancurkan gerakan
nasionalisme yang bergerak secara sulit yang berpusat di SITC itu.
Antaranya ialah memisahkan Ibrahim Yaacob dari rakan-rakannya setelah
menamatkan pengajian pada tahun 1931.[60]
Ibrahim Yaacob dihantar mengajar ke Bentong, Pahang, sementara
rakan-rakannya dihantar mengajar ke merata tempat di Semenanjung Tanah
Melayu, sehingga mereka berjauhan. Di samping itu, tenaga pengajar yang
menanamkan semangat nasionalisme juga telah dipecah-pecahkan supaya
mereka sukar berhubung antara satu dengan lain.[61]
Mereka dihantar sampai ke Borneo dengan alasan kenaikan pangkat.
Antaranya Cikgu Abdul Hadi Haji Hassan dijadikan Pemeriksa
Sekolah-Sekolah Borneo, dan Cikgu Harun Muhammad Amin (Harun
Aminurashid) dijadikan Penguasa Pelajaran di Brunei.[62]
Bagaimanapun,
langkah Inggeris menyekat gerakan nasionalisme di SITC itu tidak
mematahkan cita-cita dan perjuangan Ibrahim Yaacob. Dengan
perpindahannya ke Bentong, Ibrahim memindahkan markas Ikatan Semenanjung
Borneo ke Bentong pula. Di Bentong, Ibrahim mendapat sokongan daripada
Ishak Haji Muhammad yang ketika itu menjadi Timbalan Penolong Pegawai
Daerah Bentong.[63] Aktiviti politik Ibrahim dan Ishak dapat dihidu oleh penjajah Inggeris dan
sekali lagi mereka bertindak menyekat kegiatan politik di kalangan anak
muda Melayu itu, Ishak telah ditukarkan ke Pejabat Daerah Rembau,
sementara Ibrahim pula ditukarkan mengajar ke Sekolah Latihan Polis di
Kuala Lumpur.[64]
Setelah
berada di Kuala Lumpur pada akhir tahun 1934 dan awal tahun 1935,
Ibrahim Yaacob dapat berhubung semula dengan beberapa orang kawan lama
di SITC dan bertemu dengan kawan baru yang sama-sama mempunyai kesedaran
nasionalisme dan semangat antikolonial. Antara mereka terutamanya ialah
Hassan Manan, Abdul Karim Rasid dan Isa Mohd. Mahmud semuanya dari
SITC; Mustapha Hussin, guru Sekolah Pertanian Serdang, dekat Kuala
Lumpur serta Ishak Hj Muhamad, anak muda dari Pahang yang baharu
berhenti dari Perkhidmatan Tadbir Melayu (MAS) (Roff 1974, 226).[65]
Ibrahim
Yaacob dan Ishak Hj Muhammad, mengikut Abdul Samad (1982, 314) telah
merancang untuk menubuhkan sebuah parti yang progresif revolusioner pada
1937.[66]
Mereka mahu menuntut kemerdekaan dengan apa cara sekalipun.
Bagaimanapun, mereka menyedari bahawa bangsa Melayu sangat kekurangan
sama ada dari segi kewangan mahupun ketenteraan. Dengan itu, rancangan
itu tidak jadi dilaksanakan. [67]
Sementara itu, Ibrahim Yaacob tidak teragak-agak untuk mendapatkan
sokongan Jepun dalam usaha membebaskan tanah air daripada penjajahan
Inggeris, kerana dia mempercayai bahawa Jepun yang ketika itu sedang
berperang dengan China akan menang menjadi kuasa yang terkuat di Asia.[68]
Pada April 1938 baharulah mereka dapat menubuhkan sebuah parti politik
kiri yang bersifat nasional yang diberi nama Kesatuan Melayu Muda (KMM).
Mengikut
Roff (1974, 222) dalam buku Mohamed Salleh Lamry penubuhan KMM adalah
mengikut model Jong Jawa dan Jong Sumatera yang wujud lebih awal di
Indonesia walaupun dalam Mustapha (1999, 195, 198) dalam memoirnya
menyatakan bahawa pemuda-pemuda nasionalis dalam KMM seperti beliau mahu
mencontohi gerakan Muda Turki (Young Turks) dan tidak mengakui KMM
dipengaruhi oleh parti-parti politik dari Indonesia. Dalam hal ini,
kenyataan Ibrahim mungkin lebih tepat, kerana pada masa itu, pengaruh
dari Indonesia, sama ada dari segi bahan bacaan dan hubungan secara
langsung dengan pejuang politik dari Indonesia, memang lebih ketara.[69]
Dengan
itu, kita dapat membuat penilaian sendiri mengenai hubungan ini iaitu
satu perkara yang menarik yang mana dalam Majlis Penubuhan KMM turut
dihadiri oleh Sutan Jenain, seorang kader komunis dan pelarian politik
dari Indonesia yang mana juga sebagai ahli PKM. Pendapat saya ini saya
sokong dengan petikan dari Mustapha (1999,197) yang mana Sutan Jenain
sering menasihati beliau dan kawan-kawannya supaya menubuhkan badan
politik Melayu yang bertujuan untuk mencapai kemerdekaan. Mengikut Roff
(1974, 231-232) pula mengatakan Sutan Jenain memainkan peranan penting
sebagai penghubung (liaison) antara PKM dengan KMM.[70]
“Tentang
dasar dan matlamat perjuangan KMM mengikut Mustapha (1999, 198) ialah
sebagai sebuah parti politik Melayu yang pertama ditubuhkan di Tanah
Melayu dan berbeza dengan dasar Persatuan Melayu negeri-negeri, ini
kerana Persatuan seperti Melayu Perak, Selangor dan Pahang baru
ditubuhkan dan persatuan ini bersifat propenjajah dan berfahaman
kedaerahan tetapi KMM pula antipenjajah dan memperjuangkan kemerdekaan
dan kebebasan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British.”[71]
Manakala
Ibrahim (1957, 25) pula mengatakan KMM adalah pelopor perjuangan
nasional di Malaya secara berorganisasi yang pertama menentang penjajah
Inggeris dengan dasar non-corporation menuntut Malaya
Merdeka, atas dasar kesedaran nasional yang luas bertujuan mahu
mempersatukan Malaya kepada satu ikatan Indonesia Raya, agar seluruh
suku bangsa orang Melayu (Malay-races) menjadi satu bangsa yang besar di
Asia Tenggara.[72]
Dengan
Perkataan lain, mengikut versi Ibrahim Yaacob, KMM ditubuhkan sebagai
alat untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu yang akan disatukan
dengan Indonesia menjadi sebahagian daripada sebuah negara besar,
Indonesia Raya.[73]
Bagaimanapun pada masa itu KMM tidak boleh menyatakan secara terbuka
bahawa perjuangannya adalah untuk menuntut kemerdekaan. Matlamat untuk
menuntut kemerdekaan itu terpaksa disembunyikan.[74]
Mengikut Mustapha (1999,199) KMM telah didaftarkan sebagai sebuah badan
sosial dengan mengambil peraturan-peraturan Liga Pemuda India Selangor
sebagai perlembagaannya.[75]
Dalam
usianya yang singkat, sejak kelahirannya pada 1938 hingga kedatangan
Jepun pada tahun 1941, jelas tidak banyak yang dapat dilakukan oleh KMM
dalam perjuangan mencapai kemerdekaan. Ia bukan sahaja tidak mendapat
sokongan daripada golongan pembesar, tetapi juga daripada golongan
rakyat bawahan yang kebanyakkannya masih takut berpolitik dan lebih
mematuhi pemimpin tradisional, seperti penghulu, datuk-datuk lembaga
(Negeri Sembilan) dan lain-lain. Dalam hubungan ini, KMM mengambil sikap
bermusuhan dengan pembesar-pembesar tersebut (Abdul Samad 1982, 317).[76]
Dalam konteks perjuangan nasionalis kiri Melayu ini timbul persoalan yang kami utarakan sebagai kesimpulan sejarah KMM ini iaitu seperti berikut:
Pertama,
di mana letaknya perjuangan golongan nasionalis kiri Melayu yang
dikatakan radikal itu dari segi sejarah? Setakat mana pentingnya
perjuangan mereka?
Kedua, apakah sumbangan mereka kepada perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu?
Ketiga, mengapa mereka sanggup bekerjasama dengan pihak Jepun?
Makam Warga Malaysia,
Ibrahim Yaakob di TMP Kalibata Jakarta
19 April 2012 10:05:07 Diperbarui: 25 Juni 2015 06:25:43 Dibaca : 1,531
Komentar : 3 Nilai : 1
Makam Warga Malaysia, Ibrahim Yaakob di TMP Kalibata Jakarta
Taman Makam Pahlawan Kalibata Jakarta
Makam Pahlawan Nasional Indonesia ada di Seremban dan makam warga
Malaysia ada di Taman Makam Pahlawan Kalibata Jakarta. Tuanku Tambusai,
pahlawan Nasional Indonesia meninggal dunia di Rasah daerah Seremban
Negeri Sembilan Malaysia pada tgl 12 November 1882. Pejuang yang gigih
melawan Belanda yang dilahirkan dan menetap di Dalu-Dalu Nagari Tambusai
Riau Sumatra ini adalah merupakan anak dari pasangan Perantau Minang.
(sumber: “Titisan Darah Perjuangan”, penerbit : Lembaga Muzium negeri
Sembilan) Saat saya ke Jakarta saya mengantar keponakan saya yang
kakeknya dimakamkan di Taman Makam Pahlawan Kalibata (sebenarnya siapa
mengantar siapa, karena saya sering dengar dari teman-teman Malaysia ada
yang pernah berkisah ada tokoh politik Melayu pertama yang menentang
penjajah British di Malaysia dimakamkan di TMP Kalibata. So saya jadi
tertarik mengantar ponakan saya ini). Ketika saya mencari nama Ibrahim
Yaakob di daftar nama dan bertanya pada penjaga kuburan mereka tak
menemukan nya, untunglah pada era canggih seperti ini keponakan saya
membawa smartphone dan mencari info di wikepedia. Ibrahim Yaakob, warga
Malaysia lahir pada 27 Nov 1910 di Temerloh Pahang Malaysia dan
meninggal di Jakarta pada 8 Maret 1979 di Jakarta Indonesia dan
dikuburkan di Taman Makam Pahlawan Kalibata Jakarta. Pada batu nisannya,
tercatat nama Iskandar Kamel Agastya (IBHY). Beliau adalah presiden dan
yang mendirikan (pengasas) Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan tokoh politik
Melayu pertama yang menentang penjajah British di Malaysia. (dari
Wikepedia) 1334803941227794431
13348041141534197408
makam Ir Syaban Ardisasmita, kakeknya keponakanku
13348042211536471914
13348042821106136946
Makam Drs. Iskandar Kamel (IBHY)
133480453648321987
Selengkapnya : http://www.kompasiana.com/multa2001/makam-warga-malaysia-ibrahim-yaakob-di-tmp-kalibata-jakarta_550ff8e5a333116837ba7e65
Selengkapnya : http://www.kompasiana.com/multa2001/makam-warga-malaysia-ibrahim-yaakob-di-tmp-kalibata-jakarta_550ff8e5a333116837ba7e65
Post A Comment
Tidak ada komentar :